Thursday, December 23, 2010

Hadirnya Blog Ini

Sesungguhnya manusia adalah diperintah oleh Allah 'Azzawalla supaya menyediakan bekalan untuk dibawa ke akhirat. Bekalan yang dimaksudkan ialah pahala yang diperoleh menerusi amalan-amalan soleh. Dengan itu, teramatlah rugi di akhirat kelak bagi sesiapa yang bekalan pahalanya kurang berbanding dosa-dosanya.

Terlalu banyak peluang telah diberikan oleh Allah 'Azzawalla kepada manusia untuk melakukan amalan soleh. Cuma, dalam keadaan sedar atau tidak, mereka melepaskan begitu sahaja peluang tersebut. Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari (6412) dari Ibnu Abbas r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ

Maksudnya: Dua kenikmataan yang kebanyakan manusia rugi (terhalang daripada mendapat kebaikan dan pahala) di dalamnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang. 

Jelas menerusi hadis ini, manusia itu kebanyakannya mengabaikan waktu-waktu sihat dan lapangnya dengan tidak melakukan sesuatu yang akan mendatangkan kebaikan dan pahala untuk dirinya. Sebaliknya mereka dilalaikan dengan kenikmatan dunia yang bersifat sementara. Sebenarnya keseluruhan hidup merupakan peluang untuk manusia melakukan amalan soleh. Kebatasan ilmu sahaja yang menyebabkan manusia tidak mengambil manfaat atas peluang ini.

Justeru, bagi menyahut suruhan ini, maka lahirlah blog yang tidak seberapa ini. Yang mana diharapkan ianya menjadi salah satu daripada jalan untuk penulis memperoleh pahala dari-Nya. Allahumma amin.